WHAT'S NEXT

#CATSMUZIK

10.00am - 02.00pm

DIET RENDAH KARBO BOLEH MENYEBABKAN KANSER USUS?

Kesihatan


Back To Featured Content

Dalam usaha menguruskan berat badan, terdapat pelbagai pelan diet yang boleh diikuti  ramai. Ada yang berkesan ada yang tidak. Semuanya bergantung kepada tahap penerimaan badan seseorang.

Tetapi tahukah anda, terdapat satu kajian yang mengaitkan bahawa pengamalan pelan diet yang dipanggil diet rendah karbo boleh membawa kepada kanser usus. Ikuti perkongsian di bawah untuk maklumat selanjutnya.

Kurang Karbo, Kurang Berat

Diet rendah karbo adalah merupakan pelan pemakanan yang amat popular pada masa kini. Ini berikutan kerberkesanannya dalam menurunkan berat badan dalam masa yang singkat. Konsepnya berasaskan pengawalan tahap insulin dalam memastikan penurunan peratusan lemak badan yang lebih efektif.

Glukosa adalah merupakan unit terkecil bagi nutrisi makro, karbohidrat. Apabila kita makan makanan yang mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi, insulin akan dirembeskan bagi membantu proses pengagihan glukosa kepada sel-sel yang memerlukan sumber tenaga. Apabila kesemua sel sudah mempunyai sumber tenaga yang cukup, apa yang akan terjadi kepada lebihan glukosa yang masih berlegar-legar di dalam salur darah kita?

Lebihan ini akan ditukar menjadi glikogen dan disimpan sama ada di dalam organ hati atau otot. Glukosa tidak boleh duduk di dalam salur darah untuk tempoh masa yang lama kerana ia boleh berinteraksi dengan molekul protein dalam proses membahayakan dipanggil sebagai glikasi. Justeru, jika simpanan glikogen kita sudah mencukupi, lebihan glukosa akan disimpan di dalam sel-sel lemak kerana sel ini mempunyai struktur yang ringkas berbanding dengan sel lain.

Apabila dilihat kepada model fisiologi bagaimana terjadinya sel lemak, kita boleh simpulkan bahawa cara yang paling berkesan untuk mengurangkan berat badan atau peratusan lemak badan adalah dengan mengurangkan makanan yang mempunyai karbohidrat yang tinggi. Maka, pelan pemakanan diet rendah karbohidrat adalah merupakan salah satu cara yang efektif dalam mengawal berat badan.

Kanser usus dan diet rendah karbohidrat

Kajian yang dibuat pada bulan April 2019 telah mendapati mereka yang mengambil nutrisi makro yang sedikit mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat segala bentuk kanser. Ini berdasarkan kepada dapatan kajian yang melibatkan hampir 25,000 subjek dari tahun 1999 hingga 2010. Mereka yang mengamalkan pemakanan rendah karbohidrat didapati mempunyai risiko setinggi 35% untuk mati kerana kanser berbanding dengan populasi umum.

Kajian ini telah disahkan oleh 7 kajian-kajian lain yang mendapati bahawa, dalam kalangan 450,000 individu, mereka yang mengamalkan diet rendah karbohidrat mempunyai risiko setinggi 8% untuk mati daripada kanser. Namun, anda perlu tahu bahawa kanser mempunyai pelbagai sebab dan faktor yang perlu ditimbang tara. Kajian-kajian ini dilaksanakan melalui borang kaji selidik tanpa melibatkan konsultasi secara langsung.

Namun, secara teorinya, mereka yang mengamalkan gaya pemakanan ini, terutamanya mereka yang mengehadkan pengambilan karbohidrat kepada 30g sehari selalunya mengambil makanan yang rendah serat. Serat yang terkandung di dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin mempunyai potensi untuk menghalang berlakunya insiden kanser usus. Jika anda mengambil jumlah makanan serat yang mencukupi, anda akan menurunkan risiko untuk mendapat kanser tersebut sebanyak 20%.

Walaupun kita tahu berkenaan dengan fakta ini, 9 daripada 10 individu dewasa gagal untuk memenuhi keperluan nutrisi serat sebanyak 30g dalam masa sehari.

Konklusi

Pengambilan serat dalam pemakanan akan memberikan kualiti hidup terbaik dalam jangka masa panjang. Buat masa ini, tiada kajian yang menunjukkan diet rendah karbohidrat seperti diet ketogenik akan menyebabkan peningkatan kanser usus secara langsung, namun perlu kita ingat bahawa mereka yang mengambil diet seperti ini kebiasaannya mengambil jumlah serat yang tidak cukup dalam masa sehari. Dalam proses merawat penyakit obesiti ini, jangan kita abaikan aspek kesihatan yang lain.

Sumber: SiakapKeli